no comments

Negara perlu lebih ramai ‘Cikgu Azizan’

PAS berkata negara memerlukan lebih ramai watak seperti Cikgu Azizan yang gigih melaksanakan tugas sebagai pendidik.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata Cikgu Azizan itu menjalankan tugas dengan penuh dedikasi namun disaman sehingga terpaksa dihadapkan di mahkamah.

Bagaimanapun kata Idris tidak ada apa-apa yang perlu dimalukan oleh guru terbabit kerana beliau didakwa bukan kerana mencabul kehormatan murid, mengedar pil kuda atau mengambi rasuah.

“Tetapi cikgu didakwa kerana menjalankan tugas sebagai pendidik,” katanya dalam kenyataan umum hari ini.

Idris mengulas mengenai nasib seorang guru di Negeri Sembilan yang didakwa di mahkamah kerana dituduh menghukum pelajar yang ditangkap kerana kesalahan disiplin.

Pelajar terbabit dikatakan dihukum kerana menghidu gam, bergaduh dan membuli pelajar lain.

Nasib dialami Cikgu Azizan itu turut mendapat perhatian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menggesa pendidik di seluruh negara memberi sokongan kepadanya dengan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban pada jam 8.30 pagi, 19 Disember ini.

NUTP juga menyediakan peguam bagi membela guru terbabit.

Menurut laporan New Straits Times, Azizan didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Kisah Cikgu Azizan juga menjadi tular dan dikongsi ramai orang melalui media sosial sejak beberapa hari lalu.

Kata Idris majoriti rakyat di negara ini bersama-sama Cikgu Azizan dan memberi sokongan kepadanya.

Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berkata negara ini memang memerlukan lebih ramai “Cikgu Azizan” yang sanggup menghadapi apa saja demi menunaikan amanah sebagai pendidik.

Sebenarnya kata Idris Cikgu Azizan itu boleh saja memilih untuk hidup senang dan tidak perlu memeningkan kepala memikirkan perihal anak murid.

Namun katanya itu adalah sikap seorang guru tidak bertanggungjawab.

“Biarlah anak murid jadi manusia atau tidak. Apa yang penting setiap bulan gaji tetap dapat. Tetapi ini bukan watak Cikgu Azizan.

“Semoga keadilan berpihak kepada Cikgu Azizan,” katanya.

BACA LAGI :
Guru didakwa serang murid dapat pembelaan NUTP

Seorang guru yang dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa menampar pelajarnya mendapat pembelaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

NUTP dalam kenyataan 15 Disember lalu menggesa guru di seluruh negara memberikan sokongan kepada guru berkenaan dengan hadir ke perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada jam 8.30 pagi, 19 Disember ini.

Guru tersebut, dikenali sebgai “Cikgu Azizan”, didakwa menghukum pelajar atas kesalahan disiplin seperti menghidu gam, terlibat dalam pergaduhan dan membuli pelajar lain.

“NUTP akan menyediakan peguam bagi membela guru ini.

“Pada masa sama, kami memohon sokongan moral daripada guru seluruh Malaysia dengan hadir ke mahkamah (ketika hari perbicaraan),” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan itu.

Menurut laporan New Straits Times, Azizan didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Azizan berhadapan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Rencana yang disiarkan di laman Pendidik2u.my mendakwa yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tempat kejadian itu didakwa berlaku menyatakan kekesalannya terhadap tindakan ibu bapa pelajar yang membawa perkara itu ke mahkamah.

“Kes Cikgu Azizan bukanlah kes pertama dalam dunia pendidikan apabila guru disaman oleh penjaga (pelajar).

“Inilah cabaran guru masa kini, apa lagi yang guru mampu buat?

“Hukuman apa yang boleh guru kenakan ke atas murid? Adakah kita hanya mampu sekadar mencatat kesalahan murid dalam SSDM sahaja?” soal rencana itu, merujuk kepada laman modul pengurusan murid Kementerian Pendidikan.

Laman itu turut membuat kaji selidik dengan bertanya pembaca sama ada mereka akan “menyokong dan mendoakan” Azizan, atau berkecuali dalam kes itu.

Setakat ini, 99.8 peratus responden (53,808) memilih jawapan tersebut, manakala 0.2 peratus (107) berkecuali.

“Kepada guru-guru…biarpun tidak dapat hadir ke mahkamah, anda boleh menyatakan sokongan dengan mengundi (kaji selidik) dan berkongsi (keputusannya) di laman sosial dan kumpulan Whatsapp,” kata rencana itu lagi.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/405760#xLfTQq7HOSSAbK06.99

Facebook Comments